Ramadhan Menjelma Lagi…

Assalamualaikum sahabat sekalian…

Pertamanya terima kasih kerana sudi menjadi sebahagian dari pembaca “Sharing Is Caring”…Alhamdulilah setelah 3 bulan dilancarkan, pengunjung blog ini meningkat kepada 3000..Semuga kita semua mendapat manfaatnya yer…insyaAllah…dan saya amat mengalu-alukan pandangan, komen dan kritikan dari sahabat sekalian untuk terus ‘menghidupkan’ blog ini. Terima Kasih semua

Dikesempatan ini, saya juga ingin memintak maaf sekiranya ada sahabat-sahabat yang terguris atau sedih diatas mana-mana artikel yang saya siarkan. Maafkan salah silap saya sekiranya ‘ilmu’ yang saya cuba sampaikan melalui artikel tersebut masih lagi belum mencukupi..saya manusia yang sangat lemah yang sedang cuba menuntut ilmu sebanyak mungkin…

Sempena Ramadhan ini, saya rasa elokla kiranya saya mencari dan mengepost artikel-artikel yang boleh mendekatkan diri kita…yang berkaitan dengan keagamaan atau secara langsung dengan Ramadhan bulan penuh berkat ini. insyaAllah sebahagian besar artikel yang disiarkan akan mengunakan Bahasa Inggeris, dan seterusnya diharap dapat menarik minat non-muslim membacanya, insyaAllah…Saya juga akan membuat kerjasama antara blog dengan amirez , dimana perkongsian artikel akan berlaku; saya akan menumpukan kepada English articles dan Amirez akan menyiarkan artikel dalam Bahasa Melayu…InsyaAllah…Dan bagi sahabat yang minat mendengar lagu-lagu “Ramadhan” bolehla berkunjung ke blog multiply saya.

 

Terima kasih sahabat…

Selamat Menyambut Bulan Penuh Barakah…Semuga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari Ramadhan yang sebelumnya…Amiin..

p/s: Sebarang cadangan, komen atau perkongsian artikel, boleh dhantar di sini: annis_2403 [@] yahoo.com

 

Tugas MeMERDEKAkan Fikiran

Oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)

HARI ini, genap 50 tahun kita merdeka. Kita meraikan sambutan jubli emas kemerdekaan ini selepas tanah air dibelenggu oleh penjajah selama 446 tahun.

Mengimbas sejarah perjuangan kemerdekaan, penubuhan UMNO pada 1946, gerakan menentang Malayan Union dan disusuli kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kemudian melalui detik awal mengisi hari-hari awal sebagai negara bebas, ancaman komunis dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 – semuanya perlu dijadikan iktibar segenap peringkat rakyat.

Jika ditanya pada anak-anak muda yang lahir era Proton Saga dan Perodua diperkenalkan, mereka tidak dapat gambarkan kepayahan keturunan datuk dan neneknya makan ubi kayu rebus di zaman pemerintahan tentera Jepun dan keganasan komunis sebelum merdeka.

Sekarang zaman pascamerdeka, mungkin generasi muda berkata tidak perlu diungkit kenangan lalu yang mengusik jiwa itu. Mereka mahu bercakap tentang hakikat masa kini. Malaysia sudah merdeka lima dekad lamanya. Kini masa membincangkan tentang arah tuju ke hadapan.

Walaupun pandangan itu ada benarnya tetapi kita perlu fahami bahawa kemerdekaan yang kita ingin bawa bersama ke hadapan itu bukan bermaksud bebas daripada kongkongan negara penjajah.

Sebab itu banyak golongan intelektual negara berpendapat kemerdekaan yang sebenarnya masih jauh. Kita cuma merdeka dalam erti kata politik, tetapi kedaulatan kita sentiasa dicabar dan dicabuli.

“Penjajahan dalam erti kata penaklukan dan penindasan secara fizikal sudah berakhir, tetapi penjajahan fikiran, budaya dan ekonomi masih terus bermaharajalela,” kata Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Abdul Razak Omar.

Menurut beliau, golongan yang ‘miskin’ dengan patriotisme mudah dipengaruhi untuk menjadi musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan. “Ramai daripada kita yang tidak sedar bahawa kita masih dijajah oleh nafsu sendiri sehingga kita terlupa tanggungjawab kepada keluarga, bangsa, agama dan negara.

“Ramai daripada kita sebenarnya belum merdeka dari segi psikologi, lemah semangat dan cepat mengaku kalah. Golongan seperti ini tidak memiliki daya saing dan daya tahan untuk berjuang,” hujah Dr. Abdul Razak yang berlatar belakang pengurusan ekonomi.

Memang wujud sesetengah rakyat negara ini setelah negara merdeka, kita seringkali mencari jalan cepat dan sanggup menggadaikan maruah dan harga diri untuk mencapai sesuatu matlamat.

Ramai daripada kita sebenarnya belum merdeka dari segi psikologi, lemah semangat dan cepat mengaku kalah. Golongan seperti ini tidak memiliki daya saing dan daya tahan untuk berjuang.

Dr. Abdul Razak berpendapat selepas 50 tahun merdeka, rakyat perlu mengekalkan kemerdekaan dengan konsep moden.

“Rakyat negara ini sebenarnya sudah bebas melakukan banyak perkara. Kita bebas mencari rezeki dan boleh berjalan lewat malam. Pada pukul 3 pagi pun kita masih boleh mencari tempat makan,” kata beliau.

Dari sudut ekonomi, hakikatnya semua rakyat bebas mencari sumber rezeki. Malah rakyat negara ini tidak dikongkong atau disekat memilih mana-mana parti politik yang ingin disertai atau disokong.

“Bagaimanapun adalah menjadi tugas generasi sekarang dan seterusnya untuk mengekalkan kemerdekaan dan kebebasan fikiran dalam pelbagai bidang,” kata beliau.

Dengan kestabilan parti negara yang dipimpin kerajaan komponen Barisan Nasional (BN) terutama tunjangi UMNO, ia menyumbang kesan yang ketara kepada keyakinan pelabur untuk terus menanam modal di negara ini.

Hakikatnya, tonggak pertumbuhan negara dalam tempoh 50 tahun merdeka ialah kestabilan politik. Kestabilan itu membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan program pembangunan.

Melalui program yang kemas dan berhemah maka pertumbuhan ekonomi dapat dijana dengan mapan manakala rakyat menikmati kemakmurannya. Hasil daripada kegiatan ekonomi ini juga, maka kerajaan memperoleh hasil untuk memakmurkan hidup rakyat.

Renunglah nasib penduduk di Iraq, Palestin dan beberapa negara Afrika yang kekurangan makanan dan perang saudara di sana sini.

Lihatlah bagaimana begitu ramai pendatang asing mencari nafkah di negara kita. Mereka bekerja bersungguh-sungguh dan mengirim pulang ratusan juta duit kita untuk menghidupkan keluarga dan kampung mereka.

Generasi sekarang tidak harus leka dan duduk goyang kaki. Ingat, tiada rezeki yang datang mencurah dari langit. Kita masih ada agenda yang belum selesai.

Jika sebelum merdeka semua kaum bermuafakat untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan semua kaum, bagaimana kedudukannya selepas 50 tahun?

Menurut ahli sejarah, Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmud, Kongres Pelajaran Melayu Merdeka yang diketuai Allahyarham Aminuddin Baki dan rakan-rakannya pada tahun 1956 menuntut bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara.

“Kongres itu ingin melihat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu di sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi. Adakah apa yang dituntut sebelum merdeka itu telah dilaksanakan sepenuhnya?”

Pada pandangan Prof. Nik Anuar, apa yang beliau nampak ialah usaha mendaulatkan bahasa Melayu kurang diberi penekanan oleh pihak swasta. Ini bertentangan dengan perjuangan Aminuddin Baki dan rakannya 50 tahun dahulu.

Tetapi jika dikaji sejarah, badan bukan kerajaan Cina pada 1956 juga menuntut bahasa Mandarin dijadikan bahasa rasmi bersama-sama bahasa Melayu.

Selepas 50 tahun, perjuangan tuntutan bahasa Mandarin, kata Prof. Nik Anuar nampaknya konsisten berbanding perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu.

Jelas apa yang diperjuangkan oleh Aminuddin Baki belum dicapai sepenuhnya. Inilah tanggungjawab generasi sekarang untuk memastikan ia tercapai sebelum usia kemerdekaan mencecah 100 tahun.

Dari segi memenuhi tuntutan kontrak sosial, kata Prof. Nik Anuar, sejak dahulu orang Melayu banyak berkorban dengan memberi hak kerakyatan kepada orang mendatang. Pemberian keistimewaan itu dengan tujuan agar orang mendatang membantu memajukan orang Melayu dalam semua bidang ekonomi.

“Tetapi komitmen itu belum dilaksanakan sepenuhnya selepas 50 tahun,” kata Prof. Nik Anuar yang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Selepas 50 tahun, dapat dilihat mentaliti masyarakat berbilang kaum negara ini belum banyak berubah. Kata Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dr. Nasrudin Mohammed, masalah mentaliti rakyat ialah tidak dapat menerima kaum orang lain sebagai orang lain dan menghargainya. Maknanya mereka tidak dapat menerima perbezaan kaum.

“Sedangkan perkara persefahaman antara kaum ini menjadi inti sari atau syarat untuk mendapat kemerdekaan dari British 50 tahun lalu.

Kerajaan juga mengharapkan perpaduan dapat dibentuk melalui pendidikan tetapi jika kaum bukan Melayu terus mempertahankan imej kaum masing-masing dalam pendidikan termasuk dalam soal bahasa dan sekolah, maka untuk melihat perpaduan kaum berjaya sepenuhnya perlu mengambil masa lagi,” jelas beliau.

Ingatlah pesanan Tun Dr. Mahathir Mohamad kira-kira 10 tahun lalu; “Janganlah kita fikir sekali merdeka, maka selama-lamanya kita akan merdeka. Jika kita tidak berusaha memelihara kemerdekaan kita, penjajah secara langsung atau tidak langsung akan kembali menjajah kita.”

Semua rakyat berbilang kaum hendaklah berwaspada terhadap unsur-unsur dalam negara yang boleh menghancurkan semua kejayaan yang dicapai dan nikmati sekarang.

Adalah amat penting rakyat negara ini tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas demi kesinambungan warisan bangsa yang merdeka.

 

Prinsip 80/20

MEOPTIMUMKAN MASA BEKERJA MELALUI PRINSIP 80/20

Oleh DR. ISMAIL ZAIN

[Selamat Pagi Cikgu - Utusan Malaysia]

KADANGKALA apabila kita balik ke rumah setelah bekerja atau belajar di sekolah kita berasa penat serta berada dalam keletihan. Apa yang menyedihkan lagi ialah segala tenaga yang kita keluarkan sepanjang hari tidak dapat membuahkan hasil yang banyak.

Masalah di atas selalu sahaja dihadapi oleh individu. Justru, lahir pula istilah “work smart” di mana individu dapat menjalankan sesuatu tugas dengan lebih bijak tanpa terlalu banyak membazirkan guna tenaga.

Richard Koch, 1997 seorang ahli korporat dalam bukunya “The 80/20 Principle – The Secret of Achieving More with Less” telah menghurai prinsip yang telah dikemukakan oleh Vilfred Pareto seorang ahli ekonomi berbangsa Itali 100 tahun yang lalu. Richard Koch yang juga merupakan pengamal bagi Prinsip 80/20 cuba menghurai implimentasi dan kesannya dalam pelbagai bidang dalam kehidupan manusia.

Apakah yang dimaksud dengan Prinsip 80/20? Ianya memberi pengertian bahawa sesuatu keputusan, hasilan (output) dan ganjaran yang banyak yang diterima adalah hasil daripada sebahagian kecil daripada tenaga atau input. Tujuannya ialah untuk meningkatkan keberkesanan dan kebahgiaan individu.

Prinsip 80/20 mempercayai bahawa terdapatnya ketidak-seimbangan dalaman (inbuilt imbalance) antara sebab dan akhibat, input dan output serta usaha dan ganjaran.

Beberapa contoh dapat dilihat pertalian antara 80/20 dalam kehidupan manusia. Misalnya, 80% keuntungan adalah datangnya daripada 20% nilai produk. Seterusnya 20% penunggang dijalanraya mengakhibatkan 80% kemalangan, 20% penggunaan kertas dalam suratkhabar mengandungai 80% berita dan 20% masa menyuarat menghasilkan 80% keputusan.

Sejauhmanakah Prinsip 80/20 yang telah menunjukkan kejayaan terutamanya dalam sektor korporat dapat diimplementasikan dalam bidang pendidikan?

Dalam hal ini cuba kita lihat semula 2 aspek yang kita gunakan dalam menjalankan tugas seharian kita iaitu aspek masa dan tenaga. Kedua-dua aspek ini di antaranya merangkumi beberapa aktiviti-aktiviti berikut:

    *Masa mengajar: Tambahan masa dan waktu mengajar tidak akan memberi apa-apa makna jika apa yang diajar tidak dapat dimenafaatkan oleh pelajar. Apa yang akan terhasil nanti ialah sebaliknya iatu rasa penat di pihak guru dan bosan di pihak pelajar.

    *Masa mesyuarat: Berapa banyak masakah yang digunakan oleh anda dalam mengendalikan sesuatu mesyuarat dan banyak manakah pula hasil yang didapati dalam menyuarat ini? Tidak ada gunanya sesuatu menyuarat itu dijalankan berjam-jam tetapi tidak dapat membuahkan keputusan serta idea-idea yang bernas.

    *Masa belajar: Bagi golongan pelajar pula tidak ada gunanya kita belajar berjam-jam tetapi masih tidak dapat memahami apa yang kita belajar.

Walau bagaimanapun kita perlulah berhati-hati supaya tidak membuat sebarang andaian yang salah terhadap Prinsip 80/20 ini.

Tiga contoh yang diberikan di atas adalah di antara aktiviti yang kita lakukan setiap hari. Setiap individu inginkan kepuasan Oleh kerana masa itu adalah tetap dan tidak boleh ditambah lagi maka setiap individu cuba berusaha untuk mendapat ganjaran yang banyak dari masa yang tetap itu. Begitu juga setiap individu ingin membeli barangan yang banyak dengan mengeluarkan wang yang sedikit.

Dalam situasi pembelajaran, Prinsip 80/20 memberi panduan kepada kita supaya dapat membuat persiapan dan perancangan yang rapi supaya apa yang diajar berkesan dan dapat difahami oleh pelajar-pelajar tanpa terlalu banyak menggunakan masa.

Begitu juga dalam menjalankan aktiviti-aktiviti lain seperti dalam mengendalikan mesyuarat. Mesyuarat yang baik ialah yang dapat mengeluarkan keputusan, idea dan persefahaman dalam masa yang ditetapkan. Mesyuarat yang panjang, meleret-leret akan menimbulkan kebosanan serta tidak memberi kepuasan dan keseronokan.

Istilah seperti “smart learning” adalah di antara teknik mengajar bagaimana untuk belajar. Prinsip 80/20 memberi panduan kepada kita bagaimana kita dapat belajar dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu agar segala tenaga yang kita gunakan dapat mengeluarakan hasil yang memuaskan.

Akhirnya cubalah kita buat satu renungan sejauhmanakah Prinsip 80/20 ini dapat kita gunakan khususnya dalam profesion perguruan. Sesungguhnya prinsip ini cuba mengelakkan rasa ketidakpuasan, penggunaan masa dan sumber yang tidak ekonomikal ke arah melahirkan kehidupan yang lebih produktif, sempurna dan bahagia.

Assalamualaikum….

Alhamdulilah syukur kehadratNya kerana masih memberikan kita peluang untuk terus hidup pada saat…ketika ini.

Dalam blog ini, saya ingin berkongsi artikel-artikel yang saya perolehi dan saya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan anda semua. Saya namakan blog ini “Sharing is caring” kerana apabila kita berkongsi pengetahuan, pengalaman, itu sebenarnya salah satu cara kita menunjukkan kasih sayang kita, menunjukkan rasa sayang kita sesama sahabat…

Saya juga mengalu-alukan artikel-artikel daripada para sahabat yang sesuai dan berhubungkait dengan apa yang saya utarakan.

Itulah sebenarnya matlamat saya untuk ‘menghidupkan’ blog ini. Semoga segala usaha murni kita bersama dirahmatiNya…amiin..